Pelaburan yang tidak akan rugi. Pada saya, terdapat 5 jenis pelaburan yang pasti tidak akan rugi.
Bersedekah
Orang yang melabur dengan cara bersedekah dan menderma pasti tidak akan
rugi kerana itu adalah janji Allah. Lagi banyak kita bersedekah, lagi banyak
rezeki yang akan Allah berikah kepada kita.
Sebagai contoh kita menderma untuk pembangunan sebuah masjid baru,
apabila masjid tersebut telah siap dibina dan digunakan, setiap kali orang
datang menunaikan solat atau menuntut ilmu di sana pasti kita akan mendapat
bahagian pahala. Dan ianya adalah berpanjangan sehingga ke dalam kubur!
Sedekah tidak semestinya banyak. Tetapi sedekah mestilah ikhlas. Jadi
jika tidak ikhlas tidak perlu bersedekah, begitukah maksudnya?
Pastinya bukan
begitu yang dimaksudkan.
Bagaimana kita boleh mengetahui bila kita akan ikhlas?
Bagi saya keikhlasan adalah lahir dari hati tetapi keikhlasan adalah sesuatu
yang boleh dipupuk.
Satu lagi perkara adalah sedekah tidak semestinya dengan harta / wang /
material. Sedekah boleh jadi dalam bentuk ilmu, tenaga dan macam-macam lagi.
Sedangkan hanya dengan menuturkan kata-kata yang baik itu telah dikira sebagai
satu sedekah. Ada satu cerita, seorang pakcik datang bertemu dengan saya dan
meluahkan perasaan, beliau menyatakan hasrat untuk menebas rumput-rumput di
tepi-tepi jalan kampung tetapi hasratnya dihalang oleh beberapa pihak. Beliau
bukan orang yang berharta tetapi mempunyai tenaga yang kuat untuk berkebun dan
menebas rumput, beliau ingin bersedekah dengan tenaga yang beliau ada. Bagi
saya hasratnya itu sangat mulia! Saya sendiri tidak mampu menyumbangkan
sebegitu banyak tenaga.
Ilmu
Ilmu yang baik jika disampaikan dan diamalkan pasti ganjaran bagi orang
yang mengajarnya sangat banyak. Sebab itulah banyak imam-imam dulu mengeluarkan
pelbagai jenis buku dan kitab untuk panduan umat sehingga ke hari ini. Cuba
bayangkan berapa viralnya pahala ilmu yang mereka dapat. Ilmu juga bukanlah
hanya sesuatu yang formal seperti belajar matematik, sains, dan sebagainya.
Tetapi juga termasuk semua perkara-perkara yang tidak formal seperti ilmu
memasak, menjahit, melukis dan sebagainya. Sebagai contoh tukang jahit yang
menjahit baju tempahan. Jika baju yang dijahitnya menutup autrat pasti setiap
kali orang memakainya tukang jahit tersebut akan mendapat pahala. Dan apabila
diajarkan ilmu jahitan itu kepada orang lain, dan orang lain mempraktikkan
juga, saham pahala tersebut tetap akan dapat kepada orang yang mengajarkannya.
Dan amaran juga kepada sesiapa yang mengajarkan sesuatu perkara
keburukan seperti mencuri dan sebagainya, kerugian akan berterusan juga dan
sukar untuk menebus semula kerugian tersebut.
Wakaf
Wakaf paling mudah adalah berwakaf alquran atau tanah. Setiap kali
orang membaca quran yang kita wakafkan pasti kita akan mendapat pahala. Cara
paling mudah adalah dengan mewakafkan alquran di masjid atau surau
berdekatan kita.
Satu lagi cara yang unik adalah dengan mewakafkan selipar untuk
mengambil wudhuk. Caranya mudah sahaja, sediakan selipar jepun 2 atau 3 pasang
di dalam kereta kita. Dan setiap kali kita singgah ke mana-mana surau yang
tiada selipar, kita tinggalkan sepasang.
Anak
Anak-anak kita dalah pelaburan terbesar kita. Sehingga jika telah mati
pun, kita masih bergantung kepada anak-anak. Ibu bapa akan gembira dengan
kejayaan anak-anak, tetapi ibu bapa yang lebih gembira adalah ibu bapa yang
mempunyai anak-anak yang dapat mendoakan mereka apabila mereka sudah tiada
kelak. Sebenarnya bagi saya, itulah tujuan sebenar sesebuah keluarga
dikurniakan anak. Anak adalah pelaburan utama ibu bapa bermodalkan pendidikan
dan ilmu dengan harapan anak-anak dapat mendoakan mereka setelah mereka tiada.
Tanam Pokok
Cara ini adalah paling mudah. Tanam apa sahaja pokok buah-buahan dan
sekiranya ianya berberbuah dan dimakan binatang atau manusia, ia akan dikira
sebagai satu sedekah. Dan selagi poko itu hidup dan berbuah, pasti pahala
mengalir laju.
Apa yang saya cuba disampaikan adalah pelaburan bukan hanya bermaksud menambahkan duit di dalam poket, tetapi pelaburan sebenar yang tidak pernah rugi adalah pelaburan akhirat dengan duit yang kita ada.
5 Jenis Pelaburan Yang Tidak Akan Rugi
Reviewed by TheHaikal
on
Thursday, January 26, 2017
Rating:
No comments: